Khamis, 21 Januari 2010

Anak-anak Syaitan...

1. Zalituun

Duduk di pasar/kedai supaya manusia hilang sifat jimat cermat.Menggoda supaya manusia berbelanja lebih dan membeli barang-barang yang tidak perlu.

2. Wathiin

Pergi kepada orang yang mendapat musibah supaya bersangka buruk terhadap Allah.

3. A'awan

Menghasut sultan/raja/pemerintah supaya tidak mendekati rakyat. Seronok dengan kedudukan/kekayaan hingga terabai kebajikan rakyat dan tidak mahu mendengar nasihat para ulama.

4. Haffaf
Berkawan baik dengan kaki botol. Suka menghampiri orang yang berada di tempat-tempat maksiat (cth: disko, kelab mlm & tempat yg ada minuman keras).

5. Murrah

Merosakkan dan melalaikan ahli dan orang yg sukakan muzik sehingga lupa kepada Allah. Mereka ini tenggelam dalam keseronokan dan glamour etc.

6. Masuud

Duduk di bibir mulut manusia supaya melahirkan fitnah, gosip, umpatan dan apa sahaja penyakit yg mula dari kata-kata mulut.

7. Daasim

Duduk di pintu rumah kita. Jika tidak memberi salam ketika masuk ke rumah, Daasim akan bertindak agar berlaku keruntuhan rumah tangga (suami isteri bercerai-berai, suami bertindak ganas, memukul isteri, isteri hilang pertimbangan menuntut cerai, anak-anak didera dan pelbagai bentuk kemusnahan rumah tangga lagi).

8. Walahaan

Menimbulkan rasa was-was dalam diri manusia khususnya ketika berwuduk dan solat dan menjejaskan ibadat-ibadat kita yg lain.

9. Lakhuus

Merupakan sahabat orang Majusi yang menyembah api/matahari.

Ahad, 3 Januari 2010

Taubat Perlu Disegerakan...

SALAH satu sifat yang pasti dilakukan oleh manusia ialah kesalahan atau dosa. Hakikat ini diakui Rasulullah dalam sebuah hadis bermaksud: Semua anak Adam (manusia) banyak melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang banyak bertaubat. (Riwayat Tirmizi).

Manusia berbeza dengan malaikat yang sepanjang hayat tidak pernah melakukan perbuatan ingkar. Malaikat sentiasa patuh apa yang disuruh oleh Allah. Ada malaikat yang sepanjang masa melakukan ibadat kepada Allah.

Dalam diri manusia terdapat akal dan nafsu yang mendorong melakukan kebaikan dan keburukan. Hal demikian meletakkan manusia sebaik-baik kejadian, yakni mampu membuat pilihan mana yang baik dan mana yang buruk. Allah memberi peluang mereka menghapuskan dosa dengan cara bertaubat.

Bertaubat bermaksud menyesali perbuatan mungkar dan kembali mengikut segala tuntutan syarak. Taubat yang sebenar-benarnya akan membersihkan diri seperti tidak pernah melakukan dosa berkenaan.

Allah sentiasa mengingatkan manusia agar memohon taubat kepada-Nya. Banyak ayat al-Quran menukilkan tentang taubat yang dijanjikan Allah sebagai membersihkan diri daripada dosa dan meningkatkan darjat di sisi Allah.

Firman-Nya bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang melampau batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Dialah jua yang mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani ( Az-Zumar: 53).

Melakukan perbuatan dosa merupakan satu kezaliman terhadap diri sendiri di dunia dan di akhirat. Kezaliman itu menjadi semakin berat dan bertambah jika tidak bertaubat dengan segera.

Bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah kerana keterlanjuran yang dilakukan, menyesali dan berazam tidak melakukan kembali dosa akan dapat membersihkan diri.

Taubat boleh dilakukan sepanjang masa tanpa perlu menunggu usia tua atau pada hari tertentu sahaja. Sebaik-baik taubat ialah yang dilakukan sebaik selepas menyedari telah melakukan dosa.

Taubat melahirkan jiwa tenang, bersih dan tidak gusar. Apabila bertaubat dengan sebenar-benarnya, Allah mengurniakan ketenangan yang abadi dan menjadikan kita benar-benar beriman dan berserah semata-mata kepada-Nya.

Dosa yang tidak dibersihkan mudah mendorong diri mengulangi perbuatan yang sama tanpa merasakan perbuatan itu satu dosa. Perbuatan yang dilakukan berulang-ulang akan menjadi satu kebiasaan dalam diri yang sukar dihentikan.

Sebenarnya setiap kesalahan dan dosa yang dilakukan menjadi satu titik hitam di dalam hati. Jika tidak dibersihkan segera, titik hitam itu lama kelamaan menjadi satu tompok hitam dan seterusnya menutup pintu hati daripada menerima cahaya kebenaran Ilahi.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: Seorang mukmin jika berbuat satu dosa, maka ternodalah hatinya dengan satu noktah berwarna hitam. Jika dia bertaubat, meninggalkannya dan beristighfar, hatinya akan kembali jernih. Jika dosanya itu bertambah-tambah, noktah hitam itupun turut bertambah hingga menutupi hatinya. Maka itulah karat yang disebut Allah dalam al-Quran. (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan Baihaqi).

Cara bertaubat :


- Kategori dosa yang melibatkan keingkaran terhadap perintah Allah, seperti minum arak dan meninggalkan sembahyang, cara taubatnya ialah memohon terus keampunan kepada Allah. Taubat kategori ini perlu dilakukan dengan menyesali perbuatan tersebut dan tidak akan mengulanginya.

- Sebaliknya, dosa melibatkan hubungan sesama manusia seperti menipu, mengumpat dan sebagainya perlu dilakukan dengan memohon keampunan daripada orang yang kita lakukan kesalahan itu. Kita perlu bersemuka dan menyatakan kesalahan yang telah dilakukan dan memohon agar orang berkenaan memaafkannya.


Bagaimanapun, dalam keadaan tiada keyakinan dalam diri dan merasakan timbul kesan buruk seperti membalas dendam, perbalahan dan sebagainya, maka tidak harus dilakukan permohonan maaf secara bersemuka. Islam menegah melakukan sesuatu yang dikhuatiri mendatangkan keburukan, biarpun asalnya bertujuan baik.

Dalam keadaan demikian, sudah memadai taubat itu dipohon kepada Allah. Sesungguhnya Allah jua yang Maha Pengampun dan Maha Mengetahui segala yang dilakukan hamba-Nya.

Biarpun pintu taubat sentiasa terbuka dan tidak ada waktu khusus untuk bertaubat, tidak bermakna peluang itu terus terbuka sehingga detik meninggal dunia. Pintu taubat akan tertutup ketika nyawa sudah hampir ajal. Sebab itu jangan sekali-kali bertangguh untuk bertaubat.

Rasulullah s.a.w. menjelaskan tentang batasan waktu Allah menerima taubat setiap hamba-Nya. Sabda Rasulullah bermaksud: Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat seseorang hamba-Nya, selagi roh belum sampai di kerongkong (hampir sangat dengan ajal). (Riwayat Tirmizi).

Seringkali alasan orang yang menangguhkan taubat kerana merasakan dirinya masih muda. Mereka tidak ingin bertaubat ketika usia muda kerana ingin terus melakukan perkara maksiat yang mendatangkan kepuasan dan kesenangan hidup.

Memang tidak dinafikan, Allah tidak menolak taubat biarpun sebanyak mana dosa yang telah dilakukan. Biarpun seseorang itu telah melakukan dosa sepanjang hidupnya, tetapi sempat bertaubat sebelum ajalnya, maka dia mati dalam keimanan dan layak mendapat balasan syurga.

Namun, dua perkara perlu difikirkan mengapa taubat perlu disegerakan dan jangan menanti usia tua untuk bertaubat. Pertama, masa mati tidak diketahui oleh sesiapapun. Mati tidak hanya apabila usia mencecah tua. Kita dapati ramai orang yang meninggal dunia ketika usia muda dan dalam keadaan tiba-tiba.

Kedua, pastikah apabila usia tua kita akan dapat bertaubat. Perhatikan betapa ramai orang tua yang masih leka dan bergelumang dengan dosa. Malah, ada yang semakin tua semakin menjadi-jadi melakukan maksiat, melebihi kelakuannya ketika muda.

Sesungguhnya taubat membersihkan diri daripada kekotoran dosa. Apabila diri dalam keadaan bersih maka mudah mendapat rahmat dan pertolongan Allah. Kehidupan ini dilalui dengan tenang, ceria, yakin, berserah dan hanya mengharapkan keredhaan Allah.

Sebaliknya, orang yang dipenuhi dosa merasakan diri sentiasa resah, tidak mendapat kepuasan hidup, tamak, ketagih melakukan maksiat dan benci melakukan kebaikan. Bahkan doa orang yang berdosa sukar dimakbulkan Allah.

Sebaliknya, syaitan amat suka menjadi rakan kepada orang yang dipenuhi dosa. Syaitan tidak pernah berputus asa menyesatkan manusia dengan pelbagai tipu daya. Iblis memohon kepada Allah agar dipanjangkan usia hingga Hari Kiamat semata-mata ingin menghasut manusia menjadi hamba yang sesat seperti dirinya.

Sebab itu Nabi Muhammad menganjurkan agar umatnya banyak beristighfar yang bermaksud memohon keampunan daripada-Nya. Mengikut satu riwayat, Rasulullah beristighfar setiap hari tidak kurang daripada 70 kali.

Mengikut riwayat lain pula mengatakan 100 kali sehari. Istighfar bukan saja membersihkan dosa dan memohon keampunan, tetapi jalan mendekatkan diri kepada Allah.

Dengan beristighfar akan merasakan diri sentiasa diperhatikan Allah dan tiada peluang melakukan sesuatu yang ditegah-Nya.

Sabda Rasulullah bermaksud: Sesiapa membanyakkan istighfar, nescaya Allah menjadikan untuknya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan dia diberi rezeki yang datangnya tanpa diduganya. (Riwayat Ahmad).

Khamis, 12 November 2009

Beriman Kepada Empat Perkara..

Rasulullah s.a.w bersabda: "Seseorang itu tidak menjadi mukmin sehingga ia beriman sekurang-kurangnya empat perkara, iaitu: Mengetahui dan meyakini bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa aku ialah Rasulullah yang mengutuskan aku membawa kebenaran, dan percayakan mati yang memang ditetapkan masa dan caranya bagi tiap-tiap seorang, dan percayakan kebangkitan hidup semula sesudah mati, serta percayakan kadar takdir yang ditentukan oleh Allah."

Pengajaran hadith:
i) Setiap umat Islam wajib mengimani perkara-perkara berikut :
a) Percaya bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah S.W.T.
B) Percaya bahawa Muhammad adalah nabi dan rasul terakhir yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan ajaran-Nya.
C) Percaya bahawa setiap manusia pasti akan mati apabila sampai ajalnya di mana setiap seorang akan melalui saat “sakratul maut” yang telah ditetapkan caranya.
D) Percaya bahawa setiap manusia yang telah mati, di hari akhirat kelak mereka akan dibangkitkan semula untuk dihisab amalan mereka oleh Allah .
E) Percaya dengan kadar takdir (qadha’ dan qadar) Allah.
Ii) Sesiapa yang mengingkari mana-mana perkara tersebut seperti menaruh perasaan syak dan ragu-ragu di dalam hati (tidak yakin) maka akan rosaklah aqidah Islamnya.
iii) Beriman bermaksud percaya dan membenarkan segala sesuatu yang didatangkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu tiap-tiap perkara yang disampaikan dan diajarkan oleh baginda itu sebenarnya datang dari Allah bukanlah rekaan, khayalan dan sebagainya.

Selasa, 3 November 2009

Peganglah Api Bila Teringatkan Zina...

Ada seorang pemuda soleh yang sangat patuh kepada perintah agamanya dan sentiasa menjaga diri daripada segala rupa maksiat dan keburukan,sehingga pada suatu malam terlintas di dalam hatinya hendak berzina dengan seorang gadis jelita kerana terpesona dengan kejelitaannya.

Kebetulan pada ketika itu, disampingnya ada sebuah pelita yang sedang baru dinyalakan untuk menerangi rumah pemuda soleh itu. Maka dia pun terus menajamkan pandangannya kepada api yang sedang bernyala-nyala pada sumbu pelita itu. Kemudian dia berbisik pada dirinya sendiri:

''Engkau mengajak aku melakukan perbuatan terkutuk dengan wanita itu? Baiklah, aku akan letakkan jariku ini di atas sumbu pelita yang menyala itu. Kiranya ia tahu panasnya, nescaya aku akan turutkan kemahuanmu itu.''

Maka pemuda soleh itu pun meletakkan jarinya di atas sumbu tadi. Dan dia cuba menahan diri daripada kepanasannya, sehingga hampir-hampir nyawanya akan tercabut kerana tidak tahan panas yang dideritanya itu. Lalu dia berteriak:

''Wahai diriku,tahniahlah engkau! Rupanya engkau tidak tahan,padahal api dunia itu tersangatlah sejuk berbanding api neraka. Kalau hanya menghadapi api dunia, engkau sudah tidak tahan,apatah lagi menghadapi api neraka yang panasnya berkali-kali ganda lebih dasyat dari api dunia ini."

Lalu orang soleh itu pun berpaling daripada niatnya yang mula-mula tadi. Sejak peristiwa itu hatinya tidak pernah diganggu lagi oleh lintasan buruk seperti itu.


Surah An-nisa,ayat 31:

"Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (Syurga)."

Surah Al-Israak,ayat 32:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."

Jangan Malu Menuntut Ilmu....

عَنْ أَبِي وَاقِدٍ اللَّيْثِيِّ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَمَا هُوَ جَالِسٌ فِي الْمَسْجِدِ وَالنَّاسُ مَعَهُ إِذْ أَقْبَلَ ثَلَاثَةُ نَفَرٍ فَأَقْبَلَ اثْنَانِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَذَهَبَ وَاحِدٌ قَالَ فَوَقَفَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَمَّا أَحَدُهُمَا فَرَأَى فُرْجَةً فِي الْحَلْقَةِ فَجَلَسَ فِيهَا وَأَمَّا الْآخَرُ فَجَلَسَ خَلْفَهُمْ وَأَمَّا الثَّالِثُ فَأَدْبَرَ ذَاهِبًا فَلَمَّا فَرَغَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ عَنْ النَّفَرِ الثَّلَاثَةِ؟ أَمَّا أَحَدُهُمْ فَأَوَى إِلَى اللَّهِ فَآوَاهُ اللَّهُ وَأَمَّا الْآخَرُ فَاسْتَحْيَا فَاسْتَحْيَا اللَّهُ مِنْهُ وَأَمَّا الْآخَرُ فَأَعْرَضَ فَأَعْرَضَ اللَّهُ عَنْهُ.

Maksud Hadith :

Daripada Abi Waaqid Allaithy R.A, sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam ketika mana Baginda sedang duduk di dalam masjid bersama-sama dengan kumpulan manusia (para sahabatnya dalam majlis ilmu) , tiba-tiba datang tiga orang, lalu dua orang terus menyertai majlis Rasulullah salallahu alaihi wa sallam dan seorang lagi pergi begitu sahaja(tanpa menyertai).Lalu kedua-dua orang itu berdiri (dekat halaqah), maka salah seorang daripada kedua itu melihat ada ruang kosong di dalam halaqah ilmu tersebut lalu dia duduk di situ, manakala yang keduanya hanya duduk jauh di belakang mereka dan manakala yang ketiga pula terus memalingkan punggung dan beredar pergi. Maka apabila Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam selesai ( memberi pengajian),
lalu Baginda bersabda : Mahukah kalian aku khabarkan tentang hal orang bertiga itu? Maka yang pertama itu dia bersungguh-sungguh untuk mencari ilmu, maka Allah melapangkan tempat untuknya, manakala yang kedua itu dia berasa malu ( tidak bersungguh-sungguh), maka Allah juga malu daripadanya(tidak memberinya ilmu yang banyak) dan yang ketiga itu dia berpaling dari Allah, maka Allah juga berpaling daripadanya (tidak mengendahkannya).

Hadith riwayat Al-Bukhari no: 64 , dengan lafaz daripadanya.


Keterangan ringkas:-

Orang yang hendak mendapatkan ilmu itu mesti bersungguh-sungguh memberikan perhatian kepada ilmu. Hendaklah dia berusaha semampu mungkin dengan daya yang dimilikinya untuk mendapatkan ilmu. Jangan malu untuk belajar dan jangan malas. Seseorang itu hendaklah mempunyai hati yang cekal dan tabah. Sentiasa menggunakan kesempatan yang ada untuk menambahkan ilmu. Tidak perlu disuruh untuk belajar tetapi dia memang sentiasa siap sedia untuk belajar menimba sebanyak mungkin ilmu apabila ada kesempatan. Maka dengan kerajinan dan perhatian yang tinggi itu dia akan dapat mengumpulkan ilmu sebanyak mungkin.


Adapun mereka yang malas, mudah patah semangat, tidak berghairah dan sentiasa menunggu dorongan daripada orang lain, maka orang yang seperti ini jarang sekali dapat berjaya dalam usahanya mencari ilmu.

Jadi, sama-samalah kita betulkan niat, semaikan azam, dan bina semangat yang tinggi untuk berusaha mencari ilmu. Insya Allah.

Jujur Dalam Bergurau Senda..

Hidup kita memang selalu dipenuhi dengan gurau senda dengan orang di sekeliling. Tujuannya hanya satu; untuk gembira dan ceriakan suasana. Takkan kita nak serius sepanjang masa, betul tak?

Tapi, sedarkah kita, ketika bergurau senda, kita mungkin dah berbohong? Kita mungkin tak berniat untuk betul-betul bercakap bohong, tapi hanya sekadar cakap main-main; atau kata orang sekadar mengacah saja.

Soalnya, betul ke kita tak boleh menipu walaupun dengan hanya niat untuk bergurau? Nama pun gurauan, jadi kita bukan berniat untuk betul-betul menipu, hanya sekadar main-main dan tak memudharatkan sesiapa. Dan biasanya, kita mesti akan cakap, “Aku main-main je la…” “Aku tipu engkau je tadi. Saja nak tengok macam mana reaksi engkau.”

Kalau diikutkan logik akal pendek kita, mungkin pandangan tu nampak macam betul. Tapi, mari kita teliti sabda Rasulullah S.A.W. :

“Hendaklah kamu jujur. Sesungguhnya kejujuran menunjuk kepada kebaikan. Dan kebaikan menunjuk kepada syurga. Seorang lelaki terus jujur dan mencari kejujuran sehinggalah dia dicatatkan di sisi Allah sebagai seorang yang sangat jujur. Berwaspadalah terhadap dusta. Sesungguhnya dusta menunjuk kepada kejahatan. Dan kejahatan menunjuk kepada neraka. Seorang lelaki terus berdusta dan mencari pendustaan sehingga dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang sangat berdusta." [1]

“Celakalah orang yang memperkatakan sesuatu agar orang lain ketawa, lalu dia berdusta. Celakalah untuknya. Celakalah untuknya.” [2]

Apa pun tujuan kita, pendustaan sesekali tidak dibenarkan walaupun hanya untuk bergurau dan berjenaka. Islam mengharuskan gurau senda, keceriaan dan hiburan jiwa, tetapi Islam tidak membenarkan pembohongan, walaupun hanya untuk bergurau semata-mata. Jadi, kalau nak bergurau, pastikan gurauan kita tak ada unsur-unsur penipuan dan pendustaan. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.: Maksudnya:

“Sesungguhnya aku bersenda gurau dan aku tidak mengatakan, selain yang benar.” [3]


Macam mana cara yang betul untuk bergurau?

Mari kita susuri sirah Nabi Muhammad S.A.W., bagaimana cara baginda bergurau senda dengan orang-orang di sekeliling baginda. Suatu hari, seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah S.A.W., meminta tunggangan daripada baginda kerana hendak pulang ke negerinya. Apabila Nabi mendengar permintaan lelaki itu, baginda bersabda:

“Sesungguhnya aku akan menunggangkanmu di atas anak unta.”

Padahal, pada waktu itu Nabi berkata demikian hanya dengan tujuan untuk bergurau. Apabila lelaki itu mendengar kata-kata Nabi, dia merasa susah hati kerana memikirkan bagaimana anak unta yang kecil dan lemah boleh ditunggang untuk perjalanan yang jauh. Lalu, lelaki itu berkata,

“Apa yang boleh aku buat dengan seekor anak unta? Kalau kamu berikan pada aku, tentulah menjadi beban dan hanya menambahkan kesusahan saja, sebab ia masih kecil dan tidak boleh ditunggang.”

Maka Rasulullah S.A.W. berkata,

“Adakah yang melahirkan unta itu selain daripada unta betina? Maka itulah yang mahu aku berikan kepadamu iaitu unta besar yang asalnya dilahirkan oleh ibunya.” [4]

Lihat bagaimana cara Rasulullah S.A.W. menjaga adab-adab dalam bergurau senda. Baginda tidak sesekali menipu orang yang diajak bergurau, sebaliknya cara baginda ada ‘seninya’ yang tersendiri.

Apa yang dapat diperhatikan dalam kisah di atas, Rasulullah menggunakan kaedah “double meaning” dalam gurauan baginda, iaitu satu kalimah tetapi mempunyai ataupun boleh difahami dalam dua maksud dan keadaan yang berbeza.

Jadi, gurauan sebegitu akan mengelakkan kita daripada berbohong ketika bergurau. Sayyidina Umar r.a. pernah berkata:

“Tahukah kamu mengapa dinamakan gurau senda (al-muzaah) dengan kata-kata al-muzaah?” (maksud asal al-muzaah: alih).

Mereka itu menjawab: “Tidak!”

Maka Umar r.a. menjawab:

“Kerana senda gurau (al-muzaah) itu, mengalihkan orang yang bergurau daripada kebenaran.”

Jadi, berwaspadalah kita dalam setiap gurauan dan kata-kata kita. Setiap apa yang dituturkan oleh kita akan dipertanggungjawabkan ke atas diri kita di akhirat kelak. Gurau senda mampu menghiburkan jiwa dan boleh mengeratkan hubungan sesama Muslim, tapi andai tidak kena caranya, gurau senda boleh melontarkan kita ke dalam azab neraka. Na'uzubillahi min dzalik.

Erti Pernikahan..

Pernikahan itu adalah salah satu anugerah dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya, khususnya kepada kita iaitu umat Rasulullah SAW. Pernikahan merupakan jalan yang sah lagi diredhai oleh Allah SWT bagi menghalalkan hubungan antara lelaki dan perempuan.

Adalah merupakan fitrah manusia yang sihat bahawa seorang lelaki akan tertarik kepada perempuan, dan begitulah sebaliknya. Maka, apabila telah wujud rasa suka dan cinta seorang lelaki kepada seorang perempuan, syariat Islam telah menyediakan pernikahan sebagai jalan memanifestasikan kecenderungan dan kecintaan yang wujud di antara dua insan tersebut.

Firman Allah SWT yang lebih kurang maksudnya:

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.”
(Surah Ar-Ruum, ayat ke-21)

Sememangnya fitrah seseorang lelaki akan menyukai perempuan, dan seseorang perempuan akan menyukai lelaki. Rasa suka, cinta, dan cenderung itu adalah fitrah yang tidak boleh dinafikan malah tidak perlu dinafikan. Apa yang penting ialah perasaan itu haruslah disalurkan dan dimanifestasikan dengan cara yang halal dan baik.

Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa cinta itu adalah kecenderungan jiwa kepadanya (kepada sesuatu yang dicintai itu) kerana keadaannya yang merupakan suatu kenikmatan kepadanya. Semakin bertambah kenikmatan, semakin bertambahlah kecintaan.

Allah SWT melengkapkan manusia dengan pancaindera yang dengannya manusia dapat merasai kenikmatan dan kelazatan dalam perkara yang disukai dan dicintai. Dalam salah sebuah hadith yang dipetik oleh Imam Al-Ghazali di dalam Ihya’ ‘Ulumuddin;

Rasulullah SAW bersabda yang lebih kurang maksudnya:

“Tiga hal dari duniamu yang dijadikan aku menyukainya, yakni: wangi-wangian, wanita, dan kesejukan hatiku dalam solat.”

Maka, kesukaan yang diwujudkan antara seorang lelaki dan perempuan itu, haruslah disatukan melalui jalan pernikahan. Sudah tentu, pernikahan itu ada syarat-syaratnya dan adab-adabnya. Adab-adab dalam pernikahan perlu diberikan perhatian yang teliti kerana pernikahan membawa erti yang cukup besar. Antara tujuan pernikahan adalah bagi menghalalkan perhubungan antara seorang lelaki dan perempuan. Segala batas pergaulan antara lelaki dan perempuan, dari segi pandangan, sentuhan, mahupun pendengaran, diangkat melalui pernikahan. Namun, erti pernikahan yang sebenar tidaklah sekecil itu.

Pada hari ini, apabila pernikahan itu difahami hanya dalam konteks menghalalkan perhubungan antara seorang lelaki dan seorang perempuan, maka kita dalam melihat banyaknya masalah dalam rumahtangga dan kehidupan berkeluarga. Antara erti yang paling besar melalui pernikahan adalah pernikahan ini merupakan suatu ibadah, yang dapat membantu kehidupan beragama seseorang itu. Dalam salah sebuah hadith, Rasulullah SAW menerangkan betapa besarnya erti pernikahan dalam konteks melengkapkan agama seseorang itu.

Sabda Rasulullah SAW yang lebih kurang maksudnya:

“Barangsiapa yang telah dikurniakan oleh Allah dengan isteri yang solehah, maka ia telah dilengkapkan sebahagian daripada agamanya. Maka, bertaqwalah kepada Allah untuk sebahagian yang lain itu.”
(Hadith Riwayat At-Tabrani dan Al-Hakim dan dinyatakan sahih sanadnya)

Dalam matan yang lain, disebut bahawa pernikahan itu melengkapkan separuh daripada agama, dan hendaklah bertaqwa kepada Allah untuk separuh lagi. Justeru, hal ini seharusnya menggambarkan kepada kita betapa melalui jalan pernikahan itu dapat melengkapkan sebahagian besar daripada agama. Hal tersebut, sudah tentu berkait rapat dengan maksud dan hikmah pernikahan yang lain.

Antaranya, melalui pernikahan kelangsungan hidup manusia sebagai manifestasi tanggungjawab khalifah dapat dipastikan berlaku. Melalui pernikahan juga akan dapat meneruskan kehidupan manusia, melalui anak-anak yang dilahirkan. Anak-anak yang dilahirkan itu akan lahir sebagai umat Rasulullah SAW. Maka, apabila terdidik pula anak-anak itu dengan baik menjadi anak yang soleh dan solehah, berbanggalah Rasulullah SAW dengan bilangan umat baginda yang banyak. Ibubapa akan mendapat kebaikan, dan masyarakat akan mendapat manfaat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Kahwinilah olehmu wanita yang pencinta (sangat mencintai suami dan anak-anak) dan peranak (subur). Maka sesungguhnya aku bermegah-megah dengan banyaknya kamu (umat Rasulullah) itu terhadap nabi-nabi yang lain di hari kiamat.”
(Hadith Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

Pernikahan juga adalah merupakan perkara yang akan dapat menenangkan jiwa, serta membantu proses untuk meningkatkan kualiti kerohanian seseorang. Hal ini demikian kerana melalui jalan pernikahan akan lebih memelihara kehormatan serta kesucian jiwa seseorang itu. Hati akan lebih tenang kerana sesebuah pernikahan yang baik itu akan dikurniakan oleh Allah SWT dengan ‘Mawaddah wa Rahmah’, yakni rasa kasih dan sayang.

Selain daripada itu, pastinya adalah lebih mudah bagi seseorang yang telah berkahwin untuk memelihara diri daripada melakukan dosa dan maksiat, termasuklah maksiat hati. Apabila seseorang itu lebih mampu memelihara dirinya daripada maksiat, maka lebih mudahlah untuk seseorang itu memberikan penumpuan kepada ibadah dan usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang lebih kurang bermaksud:

“Barangsiapa yang telah merasa sanggup (mampu) untuk berumahtangga, maka hendaklah ia bernikah. Sesungguhnya nikah itu lebih melindungi penglihatan dan lebih memelihara kehormatan. Dan sesiapa yang belum sanggup (mampu), hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat mengurangkan nafsu syahwat.”
(Hadith Riwayat Bukhari)

Maka, apa yang penting untuk difahami adalah bahawa pernikahan itu merupakan salah satu cara untuk meningkatkan kualiti ibadah, serta seharusnya menjadikan seseorang itu lebih dekat kepada Allah SWT. Hal ini demikian kerana pada hakikatnya, pernikahan itu sendiri adalah merupakan satu kurniaan yang besar daripada Allah SWT kepada hamba-Nya.

Bukankah jodoh itu ketentuan Allah? Oleh sebab itulah kita dapat melihat pada hari ini, begitu ramai orang yang bercinta selama bertahun-tahun lamanya, tetapi akhirnya tidak sampai kepada pernikahan. Ada juga yang bercinta begitu lama, akhirnya menikah jua. Ada juga yang berkenalan hanya seketika, kemudian terus mendirikan rumahtangga.

Keadaan-keadaan tersebut seharusnya memberikan kepada kita suatu pengertian bahawa soal jodoh bukanlah terletak kepada usaha manusia, tetapi adalah merupakan ketetapan dan ketentuan Allah SWT. Usaha manusia itu hanyalah sebagai sebab. Maka, bagi sesiapa yang setelah menikah dengan seseorang itu, semakin jauh hatinya daripada mengingati Allah serta beribadah kepada-Nya, bukankah itu namanya kufur nikmat?

Kerana erti syukur itu, adalah apabila kita menghargai pemberian dan kurniaan daripada Allah SWT untuk lebih mendekatkan kita kepada-Nya. Justeru, adalah penting juga untuk difahami bahawa di sebalik kenikmatan dan faedah pernikahan, terdapat risiko dan cabaran yang seandainya seseorang itu lalai dalam menjalankan tanggungjawabnya, khususnya tanggungjawab kepada Allah dan kepada Rasulullah, maka pastinya seseorang itu akan mudah terjerumus dan terperangkap dalam hal-hal yang tidak baik yang hadir bersama sesebuah pernikahan.

Imam Al-Ghazali mengingatkan tentang hal ini di dalam Ihya’ ‘Ulumuddin. Antara kesusahan dan cabaran yang akan hadir bersama pernikahan adalah untuk mencari nafkah buat keluarga daripada sumber yang halal. Hal tersebut adalah merupakan kewajipan bagi seorang suami. Selain daripada itu, antara kemudaratan paling besar apabila seseorang itu lalai dalam kehidupan berkeluarganya adalah kelalaian daripada zikir kepada Allah SWT dan persiapan menuju akhirat.

Kesibukan duniawi, kesibukan menguruskan hal keluarga, boleh sampai melalaikan seseorang itu daripada mengingati Allah SWT. Kesusahan dalam mencari nafkah, boleh sehingga mewujudkan sifat bakhil. Tuntutan kehendak dan keperluan isteri dan keluarga, boleh membawa kepada kefakiran, yang akhirnya boleh membawa seseorang itu kepada kebinasaan.

Imam Al-Ghazali memetik sebuah hadith Rasulullah SAW sebagai peringatan, yang kira-kira maksudnya:

“Akan datang pada manusia suatu zaman di mana lelaki binasa di tangan isterinya, kedua orang tuanya, dan anaknya. Mereka mencelanya dengan kefakiran dan membebaninya dengan sesuatu yang tidak mampu dipikulnya. Maka ia memasuki tempat-tempat yang akan menghilangkan agamanya. Lalu ia binasa.”

Justeru, adalah sangat penting bagi seseorang itu untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, serta memahami dan menyikapi pernikahan itu dalam erti dan konteks ibadat yang luas. Kecintaan seorang suami kepada isteri, mahupun kecintaan seorang isteri kepada suami, haruslah jangan sampai melalaikan kecintaan yang lebih berhak. Kecintaan kepada Allah dan Rasulullah itu sudah tentu adalah yang paling utama.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidaklah seseorang di antara kamu beriman sehingga ia menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada keluarganya, hartanya, dan manusia seluruhnya.”

Apabila seseorang itu mencintai keluarganya, hartanya dan dunianya lebih daripada kecintaan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, maka sudah tentu Allah akan menyerahkan seseorang itu untuk diurus dan diaturkan kehidupannya oleh dunianya. Namun, apabila seseorang itu menjadi kekasih Allah SWT dan Rasulullah SAW, maka kehidupannya diatur dan diurus oleh Allah SWT.

Bukankah Allah itu sebaik-baik pengurus? Bukankah Allah itu sebaik-baik pembantu dan penolong? Sungguh, sebaik-baik tempat bergantung hanyalah Allah!